Belanjawan 2025: KKM terima RM45.3 bilion, peruntukan kedua tertinggi

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima peruntukan kedua tertinggi dalam Belanjawan 2025 sebanyak RM45.3 bilion, meningkat daripada RM41.2 bilion pada tahun 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 yang bertemakan “Ekonomi Madani Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” di Dewan Rakyat hari ini, menyatakan bahawa sejumlah RM1.35 bilion disediakan bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.

Selain itu, katanya, RM300 juta diperuntukkan bagi menaik taraf klinik-klinik daif di seluruh negara, yang akan ditingkatkan setiap tahun.

Dalam usaha menyokong gerakan War on Sugar, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.

“Malaysia antara paling obes di rantau Asia Tenggara. Dan salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit ialah gula,” katanya.

Kata Anwar, kerajaan juga meningkatkan jalinan kerjasama dengan 91 hospital swasta bagi menyumber luar pesakit KKM melibatkan perkhidmatan seperti kardiologi, radiologi dan nefrologi.

Ujarnya, pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan elemen persaingan mendapatkan harga terbaik buat kerajaan.

“Penyumberluaran ini turut diteruskan dengan Institut Jantung Negara melibatkan pesakit jantung dari kalangan pesara kerajaan,” tambahnya.

Sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, RM27 juta disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.

Anwar turut mengumumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan sebuah Tabung Penyakit Jarang Jumpa tahun hadapan dan memperuntukkan RM25 juta bagi menampung kos perubatan penyakit jarang jumpa.