Belanjawan 2025: RM1 bilion rancakkan ekonomi desa

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN | Bagi merancakkan ekonomi desa, diperuntukkan RM1 bilion yang dirangkumkan dalam program ikhtiar Sejati MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada jumlah itu sebanyak RM600 juta untuk merancakkan ekonomi pendesaan di kampung, bandar, pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

“… manakala jawatankuasa kampung yang akan memutuskan aktiviti ekonomi yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada komuniti masing-masing.

“Seterusnya, RM200 juta bagi memperluas Kampung Angkat MADANI di 200 kampung seluruh negara yang diterajui pengurusan kementerian dan jabatan serta RM100 juta untuk memperkasa komuniti PPR seluruh negara melalui pelbagai program sosioekonomi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada hari ini.

Selain itu, universiti dan Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diberikan RM100 juta mulai tahun hadapan untuk memberi khidmat TVET seperti baik pulih rumah dan pendawaian elektrik kepada komuniti.

Tida hanya itu, Anwar turut menyatakan ia termasuk ekonomi membabitkan pertanian.

“Saya amat menerima baik tawaran syarikat sawit utama KLK, IOI, SD Guthrie, TH Plantations dan United Plantations yang sudi untuk mengambil pekebun kecil sawit angkat yang berjiran dengan ladang mereka.

“Mereka menjamin benih terbaik, baja terbaik dan hasil akan dijual kepada mereka dan akan dijual dengan harga yang tinggi. Itu jaminan mereka. Saya anggap ia satu ikhtiar yang sangat baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat besar kerana mengambil keprihatinan terhadap nasib pekebun-pekebun kecil,” ujarnya.

Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.

Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.