DOSM: KDNK suku ketiga dijangka capai 5.3 peratus

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan anggaran awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2024, dengan pertumbuhan 5.3 peratus.

Ia merupakan kesinambungan daripada pertumbuhan kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku tahun kedua 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan pertumbuhan itu dipacu oleh kestabilan pasaran buruh dan perbelanjaan pengguna, selain pemulihan sektor pelancongan serta dasar fiskal dan monetari yang menggalakkan.

Menurutnya, trend positif tersebut bukan sahaja mencerminkan pemulihan ekonomi pasca-pandemik, tetapi juga kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

“Prestasi ini menggariskan prospek positif yang berterusan, dengan peningkatan pelaburan dan permintaan domestik menjadi pemangkin utama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, data lebih komprehensif mengenai KDNK suku ketiga akan diterbitkan pada 15 November depan, menyediakan analisis terperinci bagi setiap sektor ekonomi.

Anggaran awal itu memberi gambaran bahawa Malaysia sedang berada di landasan yang kukuh untuk mencapai matlamat pertumbuhan yang mampan sepanjang tahun 2024.

Anda Mungkin Berminat