Menteri jamin bekalan beras cukup hingga lima bulan

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN | Stok bekalan dan penyimpanan beras negara masih mencukupi sehingga lima bulan.

Demikian jaminan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mengenai rancangan segera kementerian dalam memastikan bekalan sumber makanan negara terjamin.

Katanya, KPKM giat melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk rancangan jangka pendek dan panjang untuk memastikan makanan khususnya komoditi terpilih seperti beras mencukupi.

“Langkah itu termasuk meneruskan kerjasama dengan negara pengeluar lain termasuk ketika berlaku kecemasan.

“Sehingga Oktober 2024, jumlah keseluruhan stok beras termasuk stok simpanan ialah 1.1 juta tan metrik mencukupi untuk 5.6 bulan.

“Bagi memenuhi keperluan bekalan beras, negara sumber dikenal pasti ialah Thailand, Vietnam, Pakistan dan Myanmar.

“Selain itu, KPKM melaksana pelbagai inisiatif bagi memastikan ketersediaan dan kecukupan makanan khususnya komoditi terpilih.

“Antaranya kita cuba pergi kepada ‘Smart Farming’ (pertanian pintar) dalam padi, tetapi iaperkembangannya perlahan kerana kerana penanam padi masih secara tradisi hendak mengusahakan hak milik (tanah) mereka dan lambat untuk mencantumkan dan membuat skala besar,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, KPKM juga melaksanakan rancangan segera untuk meningkatkan makanan yang berada pada Kadar Sara Diri (SSR) rendah.

“SSR lebih rendah antara rancangan segera dilaksanakan dengan mempelbagai sumber import bagi kurangkan kebergantungan kepada negara tertentu saja.

“Sebagai contoh, negara sumber bagi bekalan daging diperluaskan kepada sembilan negara iaitu India, Australia, Brazil, New Zealand, Pakistan, Jepun, Korea, Argentina dan Afrika Selatan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat