PM ucap tahniah kejayaan Amer Harris di Hyundai N Cup

Oleh: Shafira Aziz

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pelumba muda negara, Amer Harris Jefry atas kejayaannya menjulang kejuaraan di Hyundai N Cup yang berlangsung di Zhuhai, China.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Anwar memuji semangat serta komitmen Amer dan berharap pencapaiannya akan menjadi inspirasi kepada atlet muda negara.

“Kecemerlangan anak muda ini yang mendapat dukungan kukuh keluarganya perlu membakar semangat atlet-atlet negara, khususnya yang sedang meningkat naik untuk terus berusaha keras hingga mencapai kejayaan dan mengharum nama negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Amer, yang baru berusia 26 tahun, kini mencipta nama dalam dunia perlumbaan antarabangsa dan menonjol sebagai antara bakat muda paling menyerlah di Malaysia.

Kejayaannya menunjukkan prestasi luar biasa dan disiplin tinggi, membuka peluang lebih luas dalam kerjayanya.

Dengan kemenangan ini, Amer dijangka mendapat lebih banyak perhatian dalam arena sukan permotoran, sekali gus memberi sinar baharu kepada masa depan sukan tersebut di Malaysia.