Wan Kuzain kini warganegara, sedia perkuat Harimau Malaya


Oleh: Shafira Aziz

SELEPAS penantian panjang, pemain yang beraksi di liga Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal akhirnya memperoleh status rasmi sebagai warganegara Malaysia dan bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Namun begitu, penyertaannya ke dalam skuad kebangsaan masih bergantung kepada pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente yang akan membuat keputusan muktamad mengenai pemilihannya.

Wan Kuzain, pemain tengah berusia 26 tahun, kini beraksi bersama St. Louis City II dalam MLS Next Pro, liga divisyen ketiga di Amerika Syarikat.

Kehadirannya dijangka memperkuatkan bahagian tengah pasukan kebangsaan, dengan kemahiran kawalan bola dan ketenangannya dalam mengawal tempo permainan.

Menerusi hantaran di grup Facebook Semuanya BOLA, seorang ahli grup dengan nama Abdul Malik menyatakan jika dipilih, Wan Kuzain bakal debut pada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Matchday November menentang India.

“Dijangka dia boleh ‘debut’ dalam FIFA Matchday November menentang India,” katanya dalam hantaran tersebut.

Namun, Vicente akan menilai sama ada Wan Kuzain sesuai dengan sistem dan falsafah taktikal pasukan.

Penyertaan Wan Kuzain adalah sebahagian daripada usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memanfaatkan bakat pemain diaspora Malaysia yang berada di luar negara.

Harapan tinggi disandarkan pada pemain ini, yang telah menunjukkan prestasi cemerlang di Amerika Syarikat, untuk membawa peningkatan dalam prestasi skuad kebangsaan.

Kini, tumpuan peminat bola sepak negara tertumpu pada keputusan Pau Marti Vicente, dengan harapan Wan Kuzain akan diberikan peluang untuk menyerlah dan menyumbang kepada kejayaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, Wan Kuzain dilahirkan di Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat dan ibu bapanya berbangsa Melayu kelahiran Malaysia.