Israel Gempur 300 Sasaran Hizbullah, Penduduk Terperangkap

BEIRUT: Israel menyerang kira-kira 300 sasaran Hizbullah di Lubnan dalam tempoh 24 jam dalam usaha menjejaskan kewangan kumpulan itu, tatkala Amerika Syarikat (AS) menggesa perang ditamatkan secepat mungkin.

Serangan ke atas cabang kewangan Hizbullah menandakan perluasan perang hampir sebulan di Lubnan dan pada masa sama, Israel terus menggempur Gaza lebih setahun.

Menurut tentera rejim Zionis, bilik kebal mengandungi peti besi bawah tanah dengan wang tunai dan emas bernilai puluhan juta dolar antara hampir 30 sasaran firma cabang kewangan yang ada kaitan dengan Hizbullah, Al-Qar al-Hassan, dimusnahkan sejak kelmarin.

Jurucakap Tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, mendakwa wang dan emas dalam peti besi itu digunakan untuk membiayai serangan Hizbullah ke atas Israel.

“Satu lagi ‘bunker’ (kubu), belum menjadi sasaran dianggarkan menyimpan sekurang-kurangnya setengah bilion dolar dalam bentuk wang tunai dan emas,” katanya.

Justeru, tentera rejim Zionis berikrar untuk melancarkan serangan lanjut petang semalam, termasuk menyasarkan kubu kuat Hizbullah di pinggir selatan ibu kota Beirut, yang kini giat diserang sejak beberapa minggu kebelakangan.

Tidak lama selepas tentera Israel menggesa penduduk mengosongkan ibu kota, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan Ouzai yang berjiran dengan Beirut turut diserang buat kali pertama sebelum sempat penduduk mematuhi arahan berpindah.

Menurut penyelamat yang bersekutu dengan Hizbullah, anggotanya sedang mencari mangsa yang terselamat di tengah-tengah kemusnahan besar di Ouzai.

“Mereka tidak meninggalkan seinci pun ruang untuk orang ramai menyelamatkan diri. Serangan dilakukan serta merta selepas amaran itu,” katanya.

Tambah NNA dalam laporannya, serangan lain turut berlaku di kawasan kejiranan Hreik, berhampiran hospital awam terbesar di Lubnan.

Pada petang semalam, Hizbullah melancarkan serangan roket bertali arus terhadap pangkalan perisikan tentera di pinggir bandar utama Tel Aviv.

Sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh semalam dalam serangan udara Israel berhampiran hospital awam terbesar di negara itu, berhampiran selatan Beirut.

“Setakat ini, serangan Israel berhampiran Hospital Hariri membunuh empat orang termasuk seorang kanak-kanak dan mencederakan 24 lain,” kata Kementerian Kesihatan Lubnan sambil menambah serangan sama menyebabkan kerosakan besar pada struktur hospital.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, walaupun hospital mengalami kerosakan besar, fasiliti itu masih menerima sejumlah besar pesakit.

Pada masa sama, kementerian menafikan dakwaan tentera Israel kononnya Hizbullah menyimpan wang dan emas bernilai setengah bilion dolar di bawah Hospital Sahel di selatan Beirut.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, dalam paparan terbaharu di media sosial memaklumkan beberapa lagi kawasan di mana penduduknya diarah berpindah termasuk kawasan berdekatan lapangan terbang di Beirut.

“Anda berada dalam lokasi di mana ada premis atau fasiliti berkaitan kepentingan Hizbullah yang akan menjadi sasaran Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada masa terdekat,” katanya. – AFP

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat