Deepavali: LLM jangka 2.62 juta kenderaan di lebuh raya utama

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah kenderaan di
lebuh raya utama menuju pantai timur, utara dan selatan meningkat mulai esok (29 Oktober) dengan jangkaan 2.62 juta kenderaan sehari susulan sambutan Deepavali pada Khamis ini.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun berkata, 2.13 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah kumpulan PLUS, 198,000 (Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak), 78,220 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1), 59,220 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2) dan 153,700 menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Susulan itu, beliau memaklumkan kesemua syarikat konsesi telah diarah melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

“Ia termasuk mengarahkan syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula 24 Oktober hingga 4 November.

“Memastikan pengoperasian lebuh raya serta kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam keadaan baik dan menyediakan kemudahan tambahan seperti tempat letak kereta serta tandas mudah alih,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut menasihati pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPlus-TTA, memastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-dompet mencukupi serta mengingatkan penunggang motosikal bahawa lorong kecemasan bukan laluan eksklusif untuk mereka tetapi turut digunakan oleh kenderaan yang berhenti jika berlaku kerosakan atau kecemasan lain.

Terdahulu, Kerajaan telah mengumumkan pemberian tol percuma di semua lebuh raya selama dua hari bermula 12.01 tengah malam (29 Oktober) hingga 11.59 malam (30 Oktober) sempena Deepavali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengecualian tol hanya diberikan hanya kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.

Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Sazali berkata, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi jam 7 pagi hingga 10 malam.

“Pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuhraya atau sebarang insiden di lebuh raya menerusi media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1–800–88–7752 atau paparan kamera litar tertutup (CCTV) di https://www.llm.gov.my,” katanya.

Anda Mungkin Berminat