DBKL roboh struktur haram ganggu pejalan kaki

Oleh: Shafira Aziz

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan struktur haram yang menghalang laluan pejalan kaki dan rezab jalan awam di Jalan Setiawangsa 10, Taman Setiawangsa.

Operasi tersebut dilaksanakan bagi memastikan kemudahan awam kekal terpelihara dan pengguna tidak terganggu.

Menurut kenyataan DBKL, lima premis telah diambil tindakan kerana membina struktur tambahan hingga menutup koridor pejalan kaki di belakang bangunan.

Selain itu, dua premis yang memasang sengkuap tanpa kebenaran dan dua gerai haram di lorong belakang kedai turut dirobohkan sepenuhnya.

“Semua sisa struktur telah dilupuskan selepas tamat operasi,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Operasi itu melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Alam Flora, Tenaga Nasional Berhad serta Syarikat Bekalan Air Selangor.

DBKL menegaskan komitmen untuk terus memantau lokasi-lokasi tumpuan dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang struktur haram pada masa akan datang.

“Pemantauan dan tindakan akan diteruskan dari masa ke semasa di kawasan yang dikenalpasti,” tambah kenyataan tersebut.

Orang awam juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat atau aduan berhubung aktiviti tidak sah di kawasan mereka. Tindakan tegas ini diambil bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar yang selamat dan teratur untuk penduduk dan pengunjung.

Anda Mungkin Berminat