PARLIMEN | Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) memperoleh RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet), menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF menyatakan bahawa penjualan saham tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB kepada pelabur strategik.
Pada tahun 2018, Khazanah dan PNB telah melabur sebanyak RM47 juta dalam FashionValet dengan pegangan minoriti, masing-masing melibatkan RM27 juta oleh Khazanah dan RM20 juta oleh PNB.
“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut MOF.
MOF dalam jawapan bertulis menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkenaan jumlah pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet serta kerugian yang ditanggung akibat penurunan nilai dan penjualan saham dalam syarikat tersebut.
MOF turut menjelaskan bahawa akibat pandemik Covid-19 dan cabaran pasaran pengumpulan dana, perniagaan FashionValet terjejas teruk, menyebabkan syarikat itu memerlukan suntikan modal baharu untuk terus beroperasi.
“Pada akhir 2023, sebuah syarikat Bumiputera iaitu NXBT Partners menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB dalam FashionValet dan menyuntik modal yang diperlukan ke dalam syarikat itu.
“Sehubungan itu, kesemua pemegang saham bersetuju menerima tawaran berkenaan,” jelas MOF.