Najib kata sukar cari sahabat sejati

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Semasa menghadapi perbicaraan di mahkamah, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui cabaran yang dihadapinya begitu sukar untuk menemui sahabat sejati yang sudi berdiri teguh di sampingnya.

Beliau turut meluahkan kekecewaannya apabila kurang sahabat yang hadir di waktu sukar.

“Ramai yang tunjuk muka ketika mahu kesenangan. Ada yang bermuka-muka.

“Tetapi hidup ini memang penuh pengajaran. Di kala kepahitan hari ini, ada setitik kemanisannya dan penghargaan,” kata bekas Perdana Menteri itu menerusi Facebook pada Rabu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi telah memerintahkannya untuk membela diri atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana yang sama.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir perbicaraan.

Bekas Presiden UMNO itu juga merakam penghargaan kepada semua yang hadir untuk mengikuti perkembangan keputusan kesnya.

“Dilihat begitu ramai dari kalangan penyokong dan rakyat biasa yang mengenang jasa dan merindui dasar pentadbiran dahulu.

“Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang datang ke mahkamah hari ini. Bukan sahaja dari pemimpin-pemimpin parti politik, ataupun kenalan.

“Ikhlas. Inilah yang benar-benar sahabat sejati. Kerana di masa ini apalah yang ada lagi untuk diberi selain penghargaan dan ucapan terima kasih? Semoga persahabatan di dunia ini kekal, dibawa dan menjadi modal di akhirat,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat