LPP: Pemulihan tatakelola NAFAS demi kepentingan peladang

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diletakkan di bawah penggantungan oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar hari ini.

Menerusi kenyataan, penggantungan tersebut merupakan langkah pemulihan menyeluruh bagi memulihkan integriti dan tadbir urus organisasi tersebut.

Langkah itu menyusuli tempoh moratorium selama lapan bulan yang tamat pada 31 Oktober lalu bertujuan memperbaiki tatakelola NAFAS selepas timbul konflik dan ketidakharmonian dalaman.

Tindakan penggantungan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk menjamin keterjaminan pengurusan serta kepentingan 660,000 ahli peladang.

“Penggantungan ini bertujuan untuk mengembalikan kepercayaan kerajaan dan peladang-peladang kepada NAFAS,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

NAFAS kini akan diuruskan oleh pentadbir-pentadbir yang akan dilantik sepanjang tempoh penggantungan, sementara kakitangan sedia ada akan meneruskan operasi seperti biasa.

Penggantungan tersebut membolehkan pihak pentadbir mengambil langkah pemulihan yang diperlukan, termasuk memperkukuh tatakelola organisasi agar kembali mencapai objektif asal untuk kepentingan peladang di Malaysia.

Menurut Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), NAFAS mempunyai hak untuk merayu keputusan ini kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam masa 30 hari.

Anda Mungkin Berminat