Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengingatkan PAS bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya bermusuh kerana saiz mata, warna kulit mahu pun warna darah yang berbeza.
Ia susulan kebimbangan beliau terhadap pemimpin-pemimpin parti itu yang dilihat lebih mudah memainkan api perkauman bagi mendapat sokongan rakyat, lebih-lebih lagi atas nama melindungi Islam.
Terdahulu, ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung insiden perarakan mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria membuat ucapan perkauman yang secara halus mengatakan orang Melayu mesti bersatu untuk melawan orang Cina.
“Yang saya pelik, dia nak kata yang mata sempit itu orang Cina, jadi yang mata bulat macam dia (Razman) adalah Melayu. Saya tenung-tenung gambar dia dengan Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen. Saya rasa mata mereka sama sempit dan semua bulat.
“Nak kata kulit dia gelap, tak adalah gelap sangat. Kulit dia lebih kurang sama je dengan rakyat Malaysia yang lain, sama ada Melayu atau Cina.
“Darah dia saya ‘confirm’ warna merah, sama macam darah setiausaha agung DAP, Anthony Loke,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial X.

Semasa perhimpunan di Menara Condong Teluk Intan, Perak pada Sabtu lalu, Razman telah mengeluarkan kata-kata didakwa menghasut kepada perpecahan berkait perhimpunan di Teluk Intan.
Dalam perhimpunan tersebut, Razman telah dirakam membuat rujukan kepada mereka yang “matanya macam ini, kulit macam ini, darah dia macam kita semua” supaya bersatu.
Ia selepas sekumpulan warga China mengibarkan bendera republik itu pada perayaan Guan Gong di Teluk Intan pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, Razman menafikan bahawa beliau berniat untuk menghina mana-mana kaum dengan kenyataan itu, dan mendakwa bahawa media telah menyalah tafsir kata-katanya.
Susulan kejadian itu, polis melancarkan siasatan terhadap perhimpunan itu dan mendapati penganjur festival kebudayaan Guan Gong bersalah atas pengibaran bendera China itu.

Dalam pada itu, Razman dan ADUN Selinsing, Sallehuddin Abdullah antara lima Ahli PAS dirakam percakapan berhubung himpunan kibar Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Rafizi juga berkata bahawa beliau malu dengan kenyataan yang dibuat pesuruhjaya PAS Perak itu kerana sejarah Islam di China lebih lama berbanding Malaysia.
Menurutnya, jumlah orang Islam di China dijangka sekitar 30 juta hingga 50 juta orang bahkan lebih ramai berbanding bumiputera Islam di negara ini.
“Saya tak terkejut Razman terus buat kenyataan berbahaya seperti ini. Dia ada rekod buka mulut kena saman. Dengan PMX (Anwar Ibrahim) dia minta maaf. Dengan Lim Guan Eng, bayar saman kerana memfitnah.
“Saya terkejut sebab PAS masih kekalkan dia sebagai Pesuruhjaya PAS Perak. Rosak pemikiran anak muda ada wakil rakyat macam ini,” tambahnya.