Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Tan Sri Mohd Khamil Jamil telah dilantik sebagai Pengerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi tempoh tiga tahun, bermula pada 4 November 2024 hingga 3 November 2027.
Beliau memiliki kelulusan dalam bidang undang-undang dari University of London dan pengalaman luas dalam dunia korporat serta pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad selama sepuluh tahun sejak 2006.
“Tan Sri Haji Mohd Khamil Jamil bukanlah figura baharu dalam dunia pendidikan tinggi negara.
“Semasa berkhidmat di DRBHICOM Berhad, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pro-Canselor DRB-HICOM University of Automotive Malaysia,” kata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari tahun 2013 hingga 2014 dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari tahun 2014 hingga 2016.
Pelantikan ini diyakini dapat meningkatkan tadbir urus profesional UiTM menerusi perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor berkepentingan bagi memperkukuh UiTM agar lebih berdaya saing sebagai sebuah universiti komprehensif di Malaysia.
“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Prof Emiritus Dr Raduan Che Rose atas sumbangan beliau sepanjang menerajui UiTM sebelum ini,” tambah KPT.