Pendang dinasihat tunjuk bukti atau minta maaf – Speaker

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi dua pilihan kepada Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berhubung kenyataanya mengenai penemuan wang RM94 juta di rumah salah seorang pemimpin DAP di dewan rakyat baru-baru ini.

Menurut Johari, Awang boleh mengemukakan bukti jika benar dakwaan yang dibuat atau membuat permohonan maaf berhubung kenyataan beliau.

“Pendang tiada di sini (Dewan Rakyat), jadi saya mohon kepada Ketua Whip (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) maklumkan kepada Pendang, dia ada dua pilihan.

“Pilihan pertama, dia masuk, jelaskan kalau dia ada bukti bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga salah dan siasatan telah dibuat, jadi kita boleh teruskan. Kalau tidak, dia minta maaf sahaja lah .. cukup … saya rasa itu terbaik, terpulang kepada dia,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 baru-baru ini, Awang membangkitkan dakwaan penemuan wang tunai berjumlah RM94 juta yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri daripada DAP.

“Begitu juga dengan kes RM94 juta, di mana seorang menteri DAP dikatakan terlibat. Sampai sekarang, kita masih tidak tahu sejauh mana siasatan telah dibuat,” katanya.

Ia mengundang kemarahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang bangun mencelah dan meminta tindakan tegas diambil terhadap Awang kerana menurutnya membuat tuduhan tanpa bukti terhadap DAP.

Susulan itu, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang penemuan berjumlah RM94 juta seperti yang dinyatakan Awang.

Dalam satu kenyataan, SPRM menyatakan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki tidak pernah membuat sebarang kenyataan ada wang yang ditemui di kediaman bekas Menteri.

“Walaupun SPRM menghormati hak Ahli Parlimen untuk menyuarakan pandangan mereka secara bebas, adalah penting agar kenyataan yang dibuat berasaskan fakta yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan.

“SPRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang kenyataan telah dibuat oleh Suruhanjaya ini mahupun Ketua Pesuruhjaya SPRM berkaitan penemuan jumlah tersebut di kediaman bekas Menteri tersebut,” katanya.

Anda Mungkin Berminat