Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati bahawa kadar perkahwinan dan perceraian di negara ini mencatatkan penurunan tertinggi sejak tahun lalu.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, bilangan perkahwinan kini mencatatkan penurunan sebanyak 12.5 peratus kepada 188,100 berbanding tahun 2022.
Katanya, statistik menunjukkan Kadar Perkahwinan Kasar (CMR) juga menurun daripada 6.6 peratus (2022) kepada 5.7 peratus (2023) bagi setiap seribu penduduk.
“Sejajar dengan perkara tersebut, terdapat tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam adalah di Selangor 5,674 (17.4%), diikuti Kelantan 3,595 (17.7%) dan Johor 3,249 (15.8%),” jelas Mohd Uzir.
Beliau berkata, penurunan bilangan perkahwinan ini disumbangkan oleh penurunan 16.8 peratus bilangan perkahwinan orang Islam pada 2023 (140,176) berbanding 2022 (168,467).
“Sebaliknya, bilangan perkahwinan orang bukan Islam merekodkan peningkatan 2.9 peritus daripada 46,555 (2022) kepada 47,924 (2023),” katanya.
Dalam pada itu, katanya lagi, bilangan perceraian juga menurun kepada 8.7 peratus daripada 63,338 (2022) kepada 57,835 (2023).
Tambah Mohd Uzir, Kadar Perceraian Kasar (CDR) mencatatkan penurunan daripada 1.9 peratus (2022) kepada 1.8 peratus (2023) bagi setiap seribu penduduk.
“Terdapat tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kelantan (1,250), Johor (790) dan Sabah (756).
“Sementara itu, perceraian orang bukan Islam turut menurun 21.4 peratus daripada 17,200 (2022) kepada 13,513 (2023),” katanya.
Beliau turut memaklumkan negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam adalah Selangor 832 (22.9%), Johor 754 (26.4%) dan Sarawak 512 (22.9%).
Jelasnya lagi, bahawa perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 30 hingga 34 tahun bagi lelaki dan perempuan.