2TM: Usaha kerajaan patut dipuji di kaunter JPJ, PDRM – Pengunjung

Oleh: Syahirah Harish

KUALA LUMPUR: Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi tumpuan utama pengunjung Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Seawal pukul 9 pagi, ramai pengunjung sudah mula beratur untuk menukar topi keledar baharu dan membayar saman.

Inisiatif penukaran topi keledar lama kepada baharu ini mendapat sambutan hangat khususnya daripada golongan berpendapatan rendah.

Seorang pengunjung, Abdul Hadi, 37, menyatakan bahawa usaha ini sangat membantu mereka yang tidak mampu membeli topi keledar berkualiti.

“Yang datang orang susah, kalau tengok helmet pun dah usang, tak selamat dah kalau pakai.

“Jadi bila ada inisiatif sebegini, setidaknya mampu kurangkan beban keluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika ditemui pada Sabtu.

Selain itu, pengurangan saman trafik sebanyak 60 peratus juga mendapat pujian pengunjung.

Jegathesan, 53, menyatakan bahawa inisiatif ini sangat membantu mengelakkan seseorang disenarai hitam kerana jumlah saman yang membebankan.

“Ini antara usaha yang patut kita puji, sebab dulu 50 peratus sekarang 60 peratus pengurangan diberikan.

“Macam saya saman baru RM100, dekat kaunter pengurangan hanya perlu bayar RM40, memang bagus,” katanya.

PDRM mencatatkan kutipan saman sebanyak RM2.1 juta sepanjang dua hari program 2TM di KLCC.

Program bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’ ini berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari sehingga Ahad ini, menampilkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi dan jabatan kerajaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat