Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Seramai 604 individu ditahan serta RM87 juta barang kawalan dan bersubsidi dirampas dalam Ops Tiris 3.0 yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bermula 1 Januari hingga 22 November lalu.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Ops yang dilaksanakan itu melibatkan 39,069 pemeriksaan di seluruh negara yang berjaya menghasilkan 2,521 kes.
Jelasnya, 604 individu yang ditahan adalah warga tempatan dan asing dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM87,034,264.29.
“Ops tiris ini dilaksanakan adalah untuk kita menangani isu ketirisan yang saya sebutkan fokusnya kepada barang kawalan dan barang kawalan subsidi.
“Kita mulakan Ops Tiris ini dulu dengan hanya menumpukan kepada ketirisan bahan subsidi diesel, namun telah kita perluaskan kepada barang-barang lain seperti RON95, minyak masak peket, gula dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDN 2024 di Kem Permata Resort Alor Gajah pada Isnin.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, melalui Ops Kesan pula, KPDN telah melaksanakan 4,200 pemeriksaan premis dan menerima 166 aduan awam di seluruh negara.
Dalam pada itu, seramai 284 pegawai, iaitu 244 pegawai lantikan baharu serta 40 pegawai Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dan Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB) telah berjaya menamatkan latihan pada kursus kali ini.
Tambah Armizan, pertambahan pegawai penguatkuasa KPDN yang tamat kursus hari ini juga ini dapat meningkatkan keberadaan atau kehadiran anggota penguat kuasa di pelbagai lokasi secara berterusan bagi memastikan kawalan dan pemantauan yang efektif.
“Sejajar dengan itu, bermula Januari tahun hadapan, kita akan memperkukuhkan strategi meningkatkan keberadaan jentera penguat kuasa KPDN di lapangan.
“Strategi ini amat penting untuk memastikan aspek kawalan dan pemantauan diperkasakan termasuk melaksanakan tindakan susulan terhadap setiap aduan dan laporan yang diterima oleh pelbagai pihak,” katanya.
Baca juga: