Kerajaan Tidak Sabotaj Pelaburan Ke Kedah – Tengku Zafrul

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kerajaan tidak pernah mensabotaj pelaburan yang dibawa ke Kedah, tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebalik, katanya, banyak pelabur telah dibawa masuk, termasuk pelaburan tambahan RM2.16 bilion oleh Hyundai Motor Company (HMC) di Kulim, Kedah.

“Susulan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Korea, HMC telah mengumumkan pelaburan tambahan RM2.16 bilion di Kulim.

“HMC merancang untuk menjalankan pemasangan kenderaan tempatan termasuk model EV (kenderaan elektrik) di Kulim,” kata Tengku Zafrul menerusi ciapan di aplikasi X pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi mendakwa syarikat yang berhasrat melabur di Kedah diberi tekanan dan sekatan agar menarik diri daripada projek yang diumumkan.

Sebagai contoh, keputusan konglomerat Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion.

Tengku Zafrul menjelaskan bahawa kerjasama kerajaan Malaysia dan HMC turut merangkumi pengembangan ekosistem EV tempatan dengan penekanan kepada teknologi bateri EV berinovasi tinggi.

“Pelaburan tambahan Hyundai akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab automotif serantau, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (#NIMP2030).

“Komitmen Hyundai juga akan mewujudkan ratusan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia dan mencipta lebih banyak pekerjaan tambahan bagi perusahaan kecil dan sederhana yang menyokong operasi mereka,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat