Peperiksaan utama tiada, fokus perkembangan holistik pelajar

PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengurangkan tekanan akademik terhadap murid dengan membubarkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan pendekatan ini menyediakan ekosistem pembelajaran yang lebih menarik dan fokus pembangunan holistik murid.

Katanya KPM kini menumpukan kepada model pembelajaran berasaskan “inquiry”, eksplorasi, pengalaman, dan pentaksiran yang melihat keseluruhan perkembangan murid.

“Pentaksiran bilik darjah ini akan beri satu tanda aras lebih baik khususnya untuk melihat dan menilai anak-anak lebih holistik melibatkan komponen pentaksiran bilik darjah, jasmani, sukan dan kurikulum dan juga psikometrik serta kecenderungan murid,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) sama ada KPM bersedia mengkaji semula kurikulum persekolahan bagi mengurangkan tekanan akademik dalam kalangan murid dan guru.

Fadhlina turut menggariskan bahawa saringan Minda Sihat dilaksanakan setiap tahun kepada murid Tahun 5 hingga Tingkatan 6 untuk mengenal pasti tanda-tanda gangguan emosi.

“Bagi murid yang menghadapi masalah kesihatan mental, intervensi segera menggunakan modul PRISMA akan dilaksanakan untuk memberi sokongan kepada mereka.

“KPM juga menyediakan pelbagai bahan psiko-pendidikan melalui infografik, video pendek, dan panduan kesejahteraan diri di platform media sosial.

“Selain itu, talian sokongan psikososial juga disediakan melalui telefon, WhatsApp, dan Telegram untuk memudahkan murid mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

“Turut disediakan, talian sokongan psiko sosial melalui panggilan telefon, aplikasi WhatsApp dan Telegram untuk menyampaikan maklumat dan saluran kepada murid untuk mendapatkan bantuan apabila berhadapan dengan sesuatu masalah atau kecelaruan minda,” tambahnya.

Bagi murid yang mengalami kemurungan teruk, pihak sekolah akan mengadakan sesi konsultasi dengan ibu bapa atau penjaga sebelum merujuk mereka kepada pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

KPM juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Yayasan Hasanah bagi mempertingkatkan literasi kesihatan mental di kalangan guru, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), serta ibu bapa.

KPM kini sedang membangunkan Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) untuk mengukur kesejahteraan guru secara menyeluruh, termasuk aspek ketersediaan sumber, autonomi, dan kompetensi guru.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat