Malaysia catat perdagangan RM244.3 bilion pada Oktober 2024

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan prestasi perdagangan yang menggalakkan pada Oktober 2024 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM244.3 bilion.

Jumlah itu hasil gabungan eksport bernilai RM128.1 bilion dan import RM116.1 bilion, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan bahawa eksport negara meningkat 1.6 peratus atau RM2.0 bilion berbanding tahun sebelumnya.

“Pulau Pinang menyumbang eksport tertinggi sebanyak 34.6 peratus, diikuti Selangor sebanyak 19.2 peratus dan Johor sebanyak 18.9 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Import turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus atau RM3.0 bilion berbanding Oktober 2023 dengan Selangor menjadi penyumbang utama sebanyak 25.3 peratus, diikuti Pulau Pinang sebanyak 22.4 peratus dan Johor sebanyak 22.0 peratus.

Bagaimanapun, terdapat penurunan eksport di beberapa negeri, termasuk Johor yang merosot sebanyak RM2.2 bilion dan Wilayah Persekutuan Labuan, menurun sebanyak RM1.5 bilion.

Sebaliknya, Pulau Pinang dan Kedah merekodkan peningkatan import tertinggi, masing-masing sebanyak RM4.2 bilion dan RM3.0 bilion.

Mohd Uzir turut berkata, statistik tersebut mencerminkan prestasi perdagangan yang kukuh di beberapa negeri utama meskipun terdapat cabaran di negeri lain.

“Prestasi perdagangan negara mencerminkan dinamik ekonomi yang terus berkembang,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat