Tokan dadah ditahan, miliki 20 rekod lampau

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki disyaki tokan dadah berskala kecil ditahan polis dengan rampasan heroin seberat 26.10 gram dalam pemeriksaan di Jalan Tun Tan Siew Sin, di sini, pada Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, suspek berusia 48 tahun itu diberkas oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik kira-kira pukul 11.50 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif mengedar dadah dalam skala kecil di sekitar kawasan Jalan Petaling.

“Semakan lanjut pula menunjukkan suspek memiliki 20 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

Susulan itu, dadah jenis heroin yang dirampas dianggar bernilai RM652.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 3 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Sulizmie Affendy turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau IPD Dang Wangi di talian 03-26002222.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat