Banjir di Kelantan terus memburuk, lebih 59,000 mangsa dipindah

KOTA BHARU: Situasi banjir di seluruh negara terus memburuk dengan Kelantan menjadi salah satu negeri paling teruk terjejas.

Setakat pukul 6.00 pagi tadi seramai 59,187 orang berada di 221 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan semua 10 jajahan berikutan kenaikan paras air di beberapa kawasan.

Berdasarkan laman InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas kekal tertinggi dengan lebih 22,000 penduduk berlindung di 53 PPS yang aktif di jajahan itu.

Sementara itu hampir semua sungai-sungai utama di negeri itu telah melepasi paras bahaya kecuali Sungai Lebir di Tualang serta Sungai Galas di Dabong yang berada pada paras amaran.

Bagaimanapun kebanyakan bacaan paras air sungai terutama di kawasan hulu Kelantan juga sedang menunjukkan trend penurunan.

Beberapa sungai utama seperti Sungai Lanas, Sungai Kelantan dan Sungai Golok telah melepasi paras bahaya, mengakibatkan banyak kawasan rendah dinaiki air.

Banjir yang melanda turut menyebabkan satu kematian akibat renjatan elektrik di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh pada 27 November lalu.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa walaupun situasi semakin kritikal, bantuan dan pemantauan rapi sedang dijalankan untuk memastikan keselamatan penduduk yang terjejas.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama agensi-agensi berkaitan terus bekerja keras dalam usaha menyelamat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

Anda Mungkin Berminat