PPS Tambahan Dibuka Atasi Isu Kepadatan – TPM

Oleh: Hanim Nadia

KOTA BHARU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tambahan akan dibuka di Kelantan sekiranya tempat perlindungan sedia ada sudah penuh, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) boleh digunakan sebagai PPS, khususnya MRSM Tumpat.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana putuskan bagi kawasan yang PPS yang sudah penuh, kebenaran khas diberikan untuk membuka PPS baru di MRSM.

“Ia termasuk MRSM di Tumpat. Setakat ini, di Kelantan PPS yang berdaftar adalah sebanyak 550 PPS,” katanya pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang pada Jumaat.

Ahmad Zahid tiba di Kelantan pukul 4 petang tadi dan diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Difahamkan, mereka meninjau keadaan paras air Sungai Kelantan di menara tinjau serta mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Dr Siti Fairus Zakaria.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menghantar khemah dari negeri yang belum mengalami banjir ke Kelantan.

“Saya dapat maklumat terdapat kekurangan khemah dan saya sudah mengarahkan NADMA supaya menghantar segera khemah berkenaan.

“Khemah di negeri yang belum dilanda banjir perlu dihantar ke Kelantan,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bermula 2 Disember ini, Kementerian Pendidikan sedang memuktamadkan pusat peperiksaan dan akan dimaklumkan kelak, kata Ahmad Zahid.

“Menteri (Fadhlina Sidek) dalam perjalanan ke Kelantan dan akan berjumpa dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengatur pusat-pusat peperiksaan ini.

“Kepada calon-calon SPM yang berada di kawasan pendalaman dan terputus hubungan, trak tentera akan mengambil mereka.

“Saya mohon kepada guru besar, guru-guru yang menjaga calon dapat bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Negeri dan daerah bagi memastikan tiada calon yang gagal hadir ke peperiksaan,” katanya lagi.

Sehingga pukul 5 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 69,345 membabitkan 21,613 keluarga dipindahkan ke 255 PPS.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas merekodkan mangsa paling ramai iaitu 22,761 orang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat