Kongres Khas PKR tetap diadakan di Selangor

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional PKR 2024.

Namun, Kongres Khas PKR dilaporkan masih akan berjalan seperti biasa.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, keputusan itu dibuat oleh pihak Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebagai langkah untuk meminda Perlembagaan Parti PKR.

Menurutnya, Kongres Khas akan tetap diadakan pada 15 Disember 2024 di Negeri Selangor dengan butiran lokasi akan dimaklumkan oleh Pejabat Setiausaha Agung dalam masa terdekat.

“PKR ingin menyeru semua pihak termasuk anggota parti untuk terus memberikan sokongan dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir.

“Semangat solidariti dan keprihatinan adalah asas kepada perjuangan kita sebagai sebuah parti reformasi yang sentiasa berpihak kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Fuziah, sebarang perkembangan terkini berhubung Kongres Nasional dan Kongres Khas akan dimaklumkan melalui saluran rasmi parti.

Untuk makluman, keputusan untuk menangguhkan Kongres Wanita, Kongres AMK, dan Kongres Nasional PKR 2024 dibuat berikutan situasi banjir yang sedang melanda dan dijangka berterusan di beberapa kawasan seluruh negara.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat