Hujan reda tapi banjir termenung di Kelantan

PASIR MAS: Biarpun hujan sudah reda, namun air banjir di beberapa daerah negeri Kelantan tidak menunjukkan sebarang perubahan memberangsangkan.

Setakat 9.07 pagi Ahad, info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan mangsa banjir ialah 97,209 orang di 284 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah dengan Pasir Mas mencatatkan rekod tertinggi iaitu 29,707 orang di 66 PPS. Diikuti dengan Tumpat (17,713), Kota Bharu (14,236), Pasir Puteh (9,885), Bachok (6,912), Kuala Krai (6,614), Tanah Merah (5,309), Jeli (660) dan Gua Musang seramai 27 orang.

Bagaimanapun menerusi laman sesawang public info banjir, kebanyakan paras air sungai utama di Kelantan telah menunjukkan trend menurun, manakala paras air di beberapa sungai masih melepasi paras bahaya.

Sungai terlibat termasuk Sungai Kelantan di Kusial Baru, Tanah Merah, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu, Tumpat serta Sungai Semerak di Pasir Puteh.

Selain Kelantan, Terengganu juga turut merekodkan peningkatan mangsa banjir di PPS dengan 41,824 orang di 311 PPS. Diikuti dengan Kedah (7,963), Negeri Sembilan (1,917), Johor (611), Pahang (500), Perlis (363), Melaka (313) dan Selangor seramai 114 orang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat