Oleh: Shafira Aziz
PARLIMEN | Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat menyuarakan pandangan bahawa had umur 60 tahun untuk imam, ratib dan pembantu bilal yang dinyatakan dalam Pindaan Seksyen 78 perlu diteliti semula.
Menurutnya, usia tersebut masih dianggap muda dan mengehadkan perkhidmatan mereka berdasarkan umur boleh memberi implikasi terhadap kesihatan dan penyertaan aktif golongan warga emas.
“Umur 60 tahun bagi rakyat Malaysia ini masih muda lagi. Sepatutnya, kalau dia sihat dan berkemampuan, dia masih boleh menjadi imam,” tegas Suhaizan, yang turut mengetuai Jawatankuasa Kesihatan.
Beliau turut mengaitkan isu ini dengan unjuran Malaysia sebagai negara menua menjelang 2030, apabila 15 peratus daripada populasi dijangka berusia 60 tahun ke atas.
“Jika kita tidak menguruskan Malaysia menua pada tahun 2030 dengan baik, kita bimbang ia akan menjejaskan kesihatan mereka.
“Kita sepatutnya membawa warga emas ini ke arah kehidupan yang sihat dan sejahtera,” katanya dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
Walaupun akta memberikan pengecualian kepada individu tertentu, Suhaizan mempersoalkan keberkesanan proses tersebut.
“Memang dinyatakan di situ ada pengecualian, tapi berapa banyak yang nak diproses untuk pengecualian ini?
“Kita seharusnya memberi peluang kepada mereka yang berkemampuan untuk terus berkhidmat,” jelas beliau.
Beliau menyarankan agar isu had umur itu dimasukkan ke dalam tatacara pentadbiran dan tidak dijadikan peruntukan dalam akta, bagi memastikan golongan warga emas dapat terus menyumbang kepada komuniti dengan lebih bermakna.
“Kita mahu memastikan mereka bukan sahaja sihat, tetapi juga dapat terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat. Ini penting untuk kesihatan fizikal dan mental mereka,” tambahnya.
Baca juga: