Anwar turun padang, tinjau Program Termurah MADANI

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Walaupun dengan jadual yang padat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa untuk bermesra dengan rakyat melalui Program Termurah MADANI di Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Sabtu.

Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit di program tersebut dan melancarkan Peluncuran Serentak Jualan Termurah Madani bagi Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah.

Beliau menyeru warga Permatang Pauh untuk mengambil peluang mendapatkan bahan bekalan basah pada harga murah sebagai usaha kerajaan menangani kos barangan.

“Saya berada di Permatang Pauh sebentar tadi untuk program Jualan Termurah Madani dan berkesempatan jumpa warga terdekat yang sentiasa dekat di hati.

“Dalam ucapan ringkas, saya menyeru kepada warga Permatang Pauh untuk ambil peluang mendapatkan bahan bekalan basah di sini sebagai ikhtiar kerajaan buat masa ini, dalam menangani permasalahan kos barangan,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Antara barangan yang dijual pada harga murah termasuk telur ayam, pelbagai jenis ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, tepung gandum dan beras.

Hasil laut seperti ikan selar dijual pada harga 50 sen seekor, ikan siakap RM5 seekor, ikan bawal RM25 sekilogram, ketam RM23 sekilogram dan sotong RM20 sekilogram.

Pengunjung yang membeli barangan bernilai RM50 ke atas akan menerima seekor ayam secara percuma dengan 1,000 ekor ayam disediakan.

Selain itu, 200 pengunjung terawal diberikan beras tempatan pek 10 kilogram setiap seorang.

Anwar juga melawat Surau Kampung Belah Dua di Permatang Pauh yang pernah dirasmikan beliau pada 30 November 1985 ketika menjadi Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau mengimbau kenangan bersolat di surau itu pada tahun 1983 sebelum perasmian rasmi dua tahun kemudian.

Anda Mungkin Berminat