GRS tegas, kestabilan Sabah tidak akan tergugat

PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal bersatu di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan sebarang usaha untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri akan gagal.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai menegaskan bahawa GRS berazam untuk menghalang percubaan yang menggugat kestabilan kerajaan susulan skandal rasuah perlesenan mineral yang melibatkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Bangkuai menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung pada September 2025.

“Kami tidak membenarkan rancangan mana-mana pihak yang berniat jahat untuk menggugat kerajaan Sabah akan berjaya. Mereka cuba membayangkan ketidaktentuan (politik) di negeri ini.

“Kerajaan negeri bukan sahaja bekerja keras tetapi sangat terbuka dan telus dalam pentadbirannya,” katanya seperti dilapor The Star.

Selasa lalu, seorang pemberi maklumat mendedahkan tujuh video yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah dalam perbincangan berkaitan rasuah.

Sementara itu, UMNO Sabah menggesa Hajiji dan ADUN terbabit untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan saman terhadap pemberi maklumat tersebut.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, kerajaan negeri perlu beroperasi secara berintegriti dan bebas daripada tuduhan tidak berasas.

Beliau menegaskan bahawa dakwaan ini mencemarkan nama baik Ketua Menteri dan kerajaan Sabah serta menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap institusi dan pelabur negeri.

“Dakwaan ini bukan sahaja mencemarkan nama baik Ketua Menteri dan kerajaan Sabah tetapi juga menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap institusi dan pelabur negeri.

“Kebenaran mesti ditegakkan, dan kerajaan mesti dihormati dan dipercayai oleh rakyat,” kata Suhaimi, yang juga Ahli Parlimen Libaran kepada The Vibes.

Kenyataan Suhaimi itu dibuat selepas Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim menggesa Hajiji berundur sebagai Ketua Menteri berikutan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran GRS.

Anda Mungkin Berminat