Sujud dalam banjir: Sah atau tidak?

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Bencana banjir yang melanda negara ketika ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda dan merisikokan kehilangan nyawa, malah menyukarkan penduduk atau mangsa banjir yang beragama Islam untuk menunaikan solat fardu lima waktu.

Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki mendirikan solat di kawasan banjir dan sujud di dalam air.

Kejadian itu menimbulkan persoalan sama ada solat tersebut sah memandangkan ia boleh mengundang kemudaratan.

Mengulas isu ini, Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan menjelaskan bahawa sah atau tidaknya sujud dalam air adalah perkara yang berbeza daripada kemudaratan.

Dalam program Soal Jawab Fiqh Ibadah Banjir yang disiarkan di TV Al Hijrah, beliau menjelaskan bahawa solat yang dilakukan dengan anggota sujud mencecah tanah adalah sah.

Iaitu, katanya, anggota sujud merangkumi dahi, dua tapak tangan dan dua hujung kaki.

“Walaupun zikir tidak dilafazkan dan mungkin dilafazkan dalam hati, ia tetap sah,” katanya sambil meminta seorang tetamu melakukan demonstrasi sujud di dalam air.

Beliau turut mengulas mengenai kemudaratan sujud dalam air seperti risiko haiwan dan bakteria dalam air yang boleh memudaratkan.

“Menolak kemudaratan lebih baik daripada mendatangkan kebaikan,” katanya.

Manakala, kaedah sujud ketika banjir, Dr Nur berkata, bagi memudahkan umat Islam yang terkesan dengan banjir, beliau menyarankan agar melakukan sujud dalam keadaan duduk seperti tahiyat awal jika tiada tempat sesuai.

Katanya lagi, bahagian kepala boleh ditundukkan seperti sujud tanpa mencecah tanah dan kemudian bangun seperti biasa untuk rakaat seterusnya.

Anda Mungkin Berminat