MCMC perkenal INSG urus risiko siber


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian (INSG).

Menerusi kenyataan, INSG dirangka khas untuk meningkatkan keselamatan siber dalam industri komunikasi dan multimedia negara.

MCMC menjelaskan bahawa INSG bukanlah peraturan mandatori, tetapi amalan terbaik yang digalakkan untuk diadaptasi oleh Penyedia Perkhidmatan.

“Tujuan utama garis panduan ini adalah untuk memperkukuh keupayaan mengurus risiko siber, mengurangkan kebocoran data serta melindungi pengguna daripada ancaman dalam talian,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh MCMC pada Ahad.

Proses pembangunan INSG melibatkan konsultasi menyeluruh bersama pelbagai pihak seperti firma keselamatan siber, kementerian, NGO dan ahli akademik.

MCMC menyatakan bahawa pendekatan inklusif ini memastikan panduan tersebut memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan dan seiring dengan amalan keselamatan global.

Langkah tersebut dianggap penting dalam menghadapi landskap ancaman siber yang semakin mencabar.

“INSG adalah bukti komitmen MCMC untuk memastikan ekosistem digital Malaysia kekal selamat dan berdaya tahan,” tambah kenyataan itu.

Dengan pelancaran INSG, MCMC berharap penyedia perkhidmatan akan mengambil langkah proaktif untuk melindungi pengguna dan mengukuhkan infrastruktur rangkaian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat