Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Pertubuhan Malaysia Corruption Watch (MCW) menegaskan bahawa pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi bukti kelemahan tadbir urus dalam sistem pendidikan negara, yang tidak konsisten dalam mencapai matlamat asal.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim, menyatakan bahawa pelaksanaan UPSR pada tahun 1988 adalah contoh dasar pendidikan yang terancang dengan objektif jelas, iaitu menilai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira).
“Malangnya, perubahan demi perubahan yang tidak konsisten telah menyebabkan sistem ini tersasar daripada tujuan asal,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
MCW berpendapat bahawa setiap dasar pendidikan perlu dinilai secara berkala berdasarkan data empirikal untuk memastikan ia relevan dengan keperluan semasa.
“Keputusan berkaitan pendidikan, termasuk pemansuhan UPSR, tidak seharusnya dibuat berdasarkan tekanan pihak tertentu, tetapi melalui proses inklusif yang melibatkan pelbagai pemegang taruh,” tambahnya.
Jais turut menyatakan bahawa pendidikan berorientasikan peperiksaan seperti UPSR gagal melahirkan pelajar dengan nilai moral, kemahiran insaniah dan daya tahan mental.
“Sistem ini hanya menghasilkan pelajar yang cemerlang di atas kertas tetapi kurang bersedia menghadapi cabaran sebenar,” tegasnya.
Sebagai langkah ke hadapan, MCW mencadangkan agar pendekatan UPSR 1988, yang hanya menilai kemahiran asas tanpa tekanan akademik berlebihan, dijadikan rujukan.
Selain itu, pendekatan baharu seperti penilaian berasaskan projek dan pentaksiran berterusan perlu diterapkan bagi menggantikan sistem peperiksaan konvensional.
“Pendidikan berkualiti dan berintegriti adalah asas pembentukan generasi masa depan yang kompeten dan berkredibiliti.
“Tadbir urus pendidikan perlu kembali kepada asas keadilan, keberkesanan dan ketelusan,” ujarnya.
Baca juga: