Pengarah syarikat didenda RM30,000 benarkan pernyataan palsu


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat mengaku bersalah atas tuduhan membenarkan pernyataan palsu dibuat kepada Pendaftar Syarikat, melanggar Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016.

Pengakuan tersebut dibuat oleh tertuduh, Mohd Latip Ahmad di Mahkamah Sesyen Bangi pada 25 November lalu.

Kes itu melibatkan dokumen Notification of Alteration Or Amendment To Constitution milik SNR Car Aircond Services & Accessories Sdn Bhd, bertarikh 30 Oktober 2019.

Dokumen tersebut mengandungi butiran palsu yang disediakan oleh setiausaha syarikat dengan kebenaran tertuduh.

Hakim Shahrul Rizal Majid telah menjatuhkan hukuman denda RM30,000 dan kos mahkamah sebanyak RM700.

“Sekiranya denda gagal dibayar, tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama dua bulan.

“Tertuduh membayar denda tersebut sejurus selepas prosiding tamat,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Ahad.

Sabitan ini menjadi peringatan tegas kepada individu dan komuniti korporat agar tidak memberikan pernyataan palsu atau mengelirukan kepada SSM.

“Tindakan pendakwaan akan terus diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang yang ditadbir serta etika perniagaan dipatuhi,” tambah kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat