Pemilihan MUDA: Amira umum bertanding, harap Syed Saddiq turut serta

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pemangku Presiden Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz mengesahkan akan bertanding pada pemilihan parti tahun depan, namun tidak mengumumkan jawatan terbabit.

Amira yang juga ADUN Puteri Wangsa berkata, hasratnya adalah untuk mempromosikan demokrasi dalam parti.

“InsyaAllah, saya berhasrat untuk bertanding demi memajukan demokrasi dalam kalangan MUDA.

“Sepanjang tahun lalu, kami telah melakukan banyak perubahan bersama untuk parti. Salah satu peristiwa penting ialah memperkenalkan demokrasi sosial sebagai ideologi parti, dan kami juga telah melalui proses penjenamaan semula,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat MUDA, Petaling Jaya pada Isnin.

Amira menggantikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada November tahun lalu yang mengosongkan kerusi itu kerana ingin menumpukan proses rayuan sabitan bersalah berkait salah guna dana Pemuda BERSATU bernilai RM1 juta.

Dalam masa sama, Amira juga berharap Syed Saddiq juga akan dapat bertanding pada pemilihan akan datang, walaupun nasibnya belum lagi diketahui.

“Itu kena tanya Syed Saddiq tetapi saya sebagai pemangku presiden mempunyai harapan yang besar agar beliau juga turut sama dalam pemilihan Muda,” kata Amira.

Pada 9 November tahun lalu, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Pemuda BERSATU didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1 juta milik sayap itu, serta satu lagi tuduhan menyalahgunakan harta berjumlah lebih RM120,000 juga milik Pemuda BERSATU.

Beliau juga disabitkan bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan sejumlah RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat, Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) yang dikaitkan dengan Pemuda BERSATU.

Bagi tuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan harta, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga dan dua tahun.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur menetapkan 19 dan 20 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman rasuah dihadapinya.

Mengulas mengenai pemilihan parti, Amira berkata, parti juga sebulat suara melantik bekas calon DUN Bukit Gasing VKK Rajasekaran sebagai pengarah pemilihan MUDA.

Katanya, mengikut perlembagaan parti, pemilihan perlu diadakan setiap tiga tahun selepas parti itu mengadakan pemilihan parti

“Proses pemilihan akan bermula di peringkat Parlimen, mengikut sistem perwakilan dan kemudian akhirnya ke peringkat pusat dan saudara Raja (Rajasekaran) akan menerajui proses tersebut,” katanya.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama pemilihan MUDA akan dilaksanakan selepas pendaftarannya diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Disember 2021.

Anda Mungkin Berminat