Pemilihan PKR: Sistem satu undi, satu anggota kekal

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Sistem satu undi, satu anggota yang menjadi tradisi pengundian PKR kekal dalam pemilihan akan datang, kata Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.

Kenyataan tersebut sekaligus menepis dakwaan bahawa parti itu akan menukar mekanisme pengundian kepada sistem perwakilan.

“Satu undi satu anggota itu memang antara kekuatan PKR, kita akan kekalkan. Cuma sebelum ini mereka (ahli) khuatir bahawa sistem tersebut akan ditukar kepada sistem perwakilan keseluruhannya. Tidak, mereka akan ada kuasa untuk mengundi,” katanya dalam wawancara bersama Malaysia Bangkit.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ketua cabang parti itu didakwa menghantar surat kepada rakan sejawat untuk bersatu menentang cadangan menukar mekanisme pengundian parti ‘satu anggota, satu undi’ kepada sistem perwakilan.

Difahamkan, cadangan itu dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), bulan lalu.

Dalam surat berkenaan, ketua cabang itu mendakwa cadangan tersebut akan menghadkan hak mengundi ahli, menjurus penurunan sokongan akar umbi.

Dakwaan itu sekali gus berupaya untuk mereka beralih sokongan kepada parti lain sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

Sementara itu, Fuziah menasihati ahli-ahli PKR agar memilih pemimpin yang dapat menjaga parti, bukan hanya sekadar memangkah kerana calon mempunyai jawatan atau kepentingan sendiri.

“Kadang-kadang kriteria mereka memilih itu mungkin tidak berapa kena contohnya mereka pilih sebab ada nama, ada jawatan, bukan kerana mereka mampu buat yang terbaik untuk parti.

“Jadi ini kita juga sedang teliti bagaimana kita hendak pastikan bahawa pemimpin yang dipilih itu ialah yang terbaik bukan setakat ada nama, jawatan, tetapi pemimpin akar umbi yang boleh turun padang dan membina parti.

“Kita mahu memastikan anggota kita sedar dan faham bahawa memilih pemimpin itu bukan setakat memangkah,tetapi memilih pemimpin yang dapat menjaga parti dengan baik,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat