KUANTAN: Istana Pahang tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan afidavit anaknya, Datuk Mohd Nizar Najib.
Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin, berkata langkah itu diambil bagi menghormati prosiding mahkamah dan mengelakkan subjudis terhadap kes rayuan Najib yang akan didengar pada 6 Januari 2025.
“Saya telah menghadap Ke Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan menyembah maklum mengenai titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 serta afidavit Datuk Mohd Nizar.

“Atas nasihat Menteri Besar Pahang dan saya, pihak Istana Pahang tidak akan membuat apa-apa kenyataan kerana perkara ini boleh menjejaskan keputusan kes yang masih dalam prosiding Mahkamah Rayuan,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Untuk info, Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Rayuan sivil terhadap hukuman itu dijadualkan untuk pendengaran pada awal tahun hadapan, dengan keputusan mahkamah masih belum dimuktamadkan.
Baca juga: