PETALING JAYA: Angkatan Muda Harapan (AMH) kecewa dengan sikap pemimpin pembangkang, termasuk Ahli Parlimen Muar, yang dilihat lebih tertumpu kepada mempertahankan individu tertentu berbanding dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu Batu Puteh.
Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan berkata ia mencemarkan semangat patriotisme yang seharusnya menjadi asas perjuangan semua rakyat Malaysia.
“RCI ini, yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara dan dianggotai oleh pakar undang-undang serta tokoh berpengalaman, adalah badan bebas yang ditubuhkan untuk mencari kebenaran dan mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan kedaulatan negara tidak tergugat.
“Justeru, adalah tidak wajar untuk pembangkang hanya menumpukan kepada satu aspek laporan RCI, seperti cadangan laporan polis terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad, tanpa memberi perhatian kepada cadangan lain yang lebih menyeluruh dan strategik demi mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH menyatakan pelbagai cadangan seperti penilaian semula proses rundingan antarabangsa, penambahbaikan mekanisme pengurusan isu sempadan negara dan pengukuhan peranan institusi diplomatik perlu diberi perhatian terlebih dahulu.
“Fokus pembangkang sepatutnya kepada usaha memastikan semua cadangan ini dilaksanakan dengan telus dan berkesan, bukan sekadar mempertahankan individu tertentu atas dasar sentimen politik.
“Langkah siasatan terhadap mana-mana pihak, termasuk laporan polis terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad, adalah sebahagian daripada proses keadilan yang bebas dan tidak bermotifkan politik.
“Ia tidak bermakna jasa besar beliau sebagai negarawan dinafikan, tetapi menunjukkan bahawa tiada individu yang kebal daripada keperluan bertanggungjawab terhadap tindakan mereka,” katanya.
Semalam di Dewan Rakyat, pemimpin pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menyifatkan laporan RCI tersebut sebagai cacat kerana sebanyak 47 daripada 217 muka surat telah dipadam.
Sementara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mempersoalkan bagaimana ‘kecuaian’ boleh dijenayahkan, yang akhirnya pada masa depan sesiapa sahaja yang mentadbir kerajaan boleh menerima nasib yang sama seperti tuduhan yang dihadapi Dr Mahathir, ketika ini.
Baca juga: