PETALING JAYA: Selepas spekulasi yang memecah hujung minggu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akhirnya membuka mulut berkenaan status beliau.
Ujarnya, sehingga kini beliau tidak membuat sebarang keputusan mengenai keahlian parti politik walaupun ada perbincangan tentang perkara ini dengan parti PKR.
“Justeru saya amat terkejut dengan perkembangan kenyataan kepimpinan tentang perkara ini. Tambahan pula sejak isu ini mula diketengahkan saya tidak menerima sebarang panggilan dari pucuk pimpinan UMNO untuk bertanyakan isu sebenar.
“Hakikatnya, saya telah meninggalkan dunia korporat untuk menjadi anggota pentadbiran Kerajaan.
“Saya lakukan ini kerana saya yakin ianya merupakan landasan kerjaya yang mampu menyediakan ruang dan peluang untuk saya berkhidmat kepada rakyat dan juga menyumbang kepada agenda pembangunan negara secara langsung,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad malam.
Zafrul berkata beliau percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat seperti serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya.
“Saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.
“Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks UMNO Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu UMNO Selangor.
“Justeru, dalam memilih wadah perjuangan politik yang sesuai bagi pembangunan rakyat dan negara seterusnya, seperti saya nyatakan, saya pernah ada berbincang dengan Parti PKR.
“Saya ingin tegaskan dalam perbincangan awal ini tidak ada perbincangan jawatan di peringkat Negeri mahu pun pilihanraya kecil dibincangkan,” katanya.
Tambah Zafrul, beliau berpegang kepada prinsip apabila sudah membuat sesuatu keputusan, beliau akan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti.
“Saya merupakan anggota satu pasukan yang sedang dan akan terus melaksanakan dasar-dasar yang terbaik untuk rakyat.
“Saya juga percaya dan yakin khemah besar Kerajaan Perpaduan yang telah dibina selama ini mempunyai semangat kerjasama yang utuh dan toleransi yang tinggi.
“Bagi saya, yang penting kita fokus tentang dasar untuk rakyat, berdasarkan politik yang membina dan bukan menghancurkan,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan ura-ura Zafrul akan menyertai PKR dan disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari yang didakwa akan ke pusat.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Amirudin dengan alasan Sultan Selangor mahu beliau mentadbir negeri sehingga habis penggal.
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini pula mengesahkan adanya perbincangan awal dengan Zafrul namun belum ada sebarang keputusan.