Politik

“Saya mengalu-alukan kematangan dan kebijaksanaan mereka” – PM tidak terima maklumat 2 MP PN beri sokongan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau tidak menerima maklumat atau dimaklumkan berhubung hasrat Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman menyokong pentadbirannya.

Anwar yang memberitahu hal itu pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Khamis, berkata, kedua-dua ahli parlimen Perikanan Nasional (PN) itu tidak mengadakan perbincangan dengannya atau mana-mana menteri berkenaan perkara itu.

“Kalau mahu penjelasan, boleh tanya Kuala Kangsar dan Labuan.

“Saya alu-alukan kematangan dan kebijaksanaan mereka,” kata Anwar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika mengulas pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) berhubung jika ada prosedur operasi standard (SOP) untuk ahli parlimen pembangkang mendapat peruntukan pembangunan.

Syed Saddiq juga bertanya jika rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sudah memadai atau ahli parlimen pembangkang perlu mengikut jejak langkah Iskandar dan Suhaili dengan menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan Anwar secara terbuka.

Iskandar dan Suhaili, kedua-duanya anggota Bersatu sebelum ini menzahirkan sokongan kepada Anwar bulan lalu antara lain berkata keputusan itu ekoran peningkatan kos sara hidup di kawasan mereka.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainunddin kemudian mendakwa Iskandar diugut akan berdepan tuduhan rasuah di mahkamah jika tidak menyokong Anwar. Dia bagaimanapun tidak menyertakan bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata suruhanjaya tidak terlibat manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan tiada laporan polis dibuat berkenaan perkara itu.

Dengan pertambahan sokongan tersebut, Anwar kini menerima sokongan 149 ahli Parlimen – melepasi majoriti dua pertiga dan justeru boleh meminda Perlembagaan Persekutuan.

Kestabilan kerajaan kini membolehkan perkembangan ekonomi lebih baik ekoran kestabilan politik mendorong pelabur asing menambah pelaburan mereka di negara ini.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close