Suhaili mengaku sokong Anwar demi masa depan rakyat

Datuk Suhaili Abdul Rahman meluahkan rasa sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun mengetahui bakal berdepan dengan tindakan disiplin daripada parti.

Kata Ahli Parlimen Labuan itu, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan dengan teliti dan secara terperinci khususnya melibatkan rintihan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi termasuk beberapa permasalahan lain.

“Sokongan saya ini dibuat adalah tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak dan saya melakukan dengan seikhlas hati demi kepentingan rakyat Labuan.

“Bagi mengelak sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah (Datuk Sri Hajiji Noor), saya akan terus taat, setia dan kekal sebagai Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Suhaili mengatakan permasalahan yang dihadapi rakyat seperti masalah bekalan air dan elektrik sejak 15 tahun seperti tidak diatasi dengan baik.

“Rakyat Labuan berdepan dengan masalah air dan elektrik sejak hampir 15 tahun lamanya. Namun, tindakan yang boleh diambil untuk mengatasi semua permasalahan dihadapi boleh dikatakan seperti melepaskan batuk di tangga.

“Saya menyokong dasar-dasar dan inisiatif kerajaan dalam hal yang mengutamakan usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang,” jelasnya.

Anda Mungkin Berminat