UMNO ada maruah – Akmal

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan parti itu mempunyai maruah dan tidak boleh ditendang sesuka hati susulan desas-desus yang mendakwa Ahli Majlis Tertinggi UMNO ,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar daripada parti itu bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kata Dr Akmal, UMNO seharusnya mengkaji semula kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya ada ‘rakan’ dalam gabungan itu yang tidak mampu menghormati Barisan Nasional (BN) dengan hasrat mahu mengambil alih parti ‘kawan’ sendiri’.

“Dulu masa kerajaan PN (Perikatan Nasional), ada juga parti kerajaan sibuk nak curi ahli UMNO, kali ni ini jika berlaku maka pendirian kita perlu tegas.

“UMNO bukan parti yang boleh ditendang sana sini, kita ada maruah kita!” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook.

Sebelum ini, desas-desus timbul berkenaan kemungkinan Tengku Zafrul daripada parti itu bagi menyertai PKR.

Malah, langkah itu diperkukuhkan dengan dakwaan Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, beliau tidak menerima sebarang pemakluman daripada Tengku Zafrul untuk keluar daripada parti itu bagi menyertai parti lain.

Malah, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini, Tengku Zafrul juga tidak ada bertemu dengannya untuk membincangkan perkara itu.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan beliau akan kekal di negeri itu sehingga ke akhir penggal ini, demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan.

“Saya melihat pelbagai bentuk spekulasi yang menular dua tiga hari ini. Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) kepada saya dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.

“Saya akan kekal di Selangor hingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan Selangor,” katanya lapor media tempatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat