‘Kami bincang isu dakwah’ – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa di Riyadh, Arab Saudi pada Jumaat melibatkan isu semasa perang Israel-Palestin.

Perbincangan kira-kira sejam itu, Anwar dan Sheikh Dr Muhammad berpendapat pentingnya kesepakatan antara pemimpin dunia Islam dan rangkaian ulama sedunia dalam memperjuangkan isu rakyat Palestin dan kekejaman Israel.

“Kami turut berbincang berkaitan isu dakwah dan pendidikan Islam bersempena Muzakarah Ulama Antarabangsa yang akan dianjurkan di Malaysia kelak,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Liga Muslim Sedunia atau juga dikenali sebagai Rabitah Alam Islami adalah pertubuhan Islam yang berpengaruh, yang berpangkalan di Makkah.

Pertubuhan berkenaan yang diasaskan oleh Raja Faisal bin Abd al-Aziz Al Saʿud in pada 1966 adalah dibiayai kerajaan Arab Saudi.

Perdana Menteri dalam lawatan kerja dua hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berakhir Jumaat.

Pada tengah hari Sabtu, Anwar menghadap Putera Mahkota Mohammed bin Salman, juga dijangka antara lain membincangkan konflik Israel-Palestin serta hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi.

Kemudian, Perdana Menteri dijadual berlepas ke Istanbul lewat petang ini untuk bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi berbincang lanjut isu Palestin dan Gaza.

Seterusnya dijadual ke Kaherah pula untuk berjumpa Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bertujuan bagi membincangkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin.

Anda Mungkin Berminat