SHAH ALAM:Usul Pindaan Perlembagaan Fasal 17.2, 17.2A dan 17.2B seperti yang telah diluluskan dalam Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat yang diluluskan hari ini disambut baik oleh Wanita PKR.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata ia adalah cerminan komitmen berterusan parti untuk meningkatkan partisipasi politik serta memastikan inklusiviti merentasi batasan gender dan etnik.
“Usul ini dapat menyuburkan amalan demokrasi dan memastikan reformasi dalam pemilihan parti.
“Partisipasi wanita di peringkat tertinggi parti dapat ditingkatkan menerusi usul pemilihan Perwakilan Biasa Cabang dan Perwakilan Tambahan yang inklusif.
“Ia akan mengambil kira kuota gender dan etnik minoriti seperti yang ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berdasarkan demografi di kawasan parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Tambahnya, usul pindaan perlembagaan yang telah diluluskan ini bertepatan dengan hasrat Wanita PKR untuk meningkatkan aktivisme politik dan penglibatan aktif wanita dalam aktiviti sosial kemasyarakatan.
“Menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), wanita mewakili lebih 50 peratus pemilih yang berdaftar. Suara wanita adalah penentu penting kepada hala tuju negara. Justeru, adalah penting untuk Keadilan (PKR) terus mengasah bakat serta daya kepimpinan wanita dan memberi mereka sepenuh perhatian.
“Bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus representasi wanita sebagai pemimpin politik dan calon dalam PRU yang akan datang, Wanita Keadilan giat menganjurkan pelbagai program pengkaderan dan pembangunan potensi di semua peringkat. Inisiatif pemberdayaan wanita akan terus dipertingkatkan,” katanya.
Terdahulu, PKR meminda Perlembagaannya dengan meningkatkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, pindaan itu dibuat menerusi Kongres Khas parti itu yang menyaksikan lebih dua pertiga perwakilan bersetuju dan meluluskan semua pindaan Perlembagaan parti yang sudah diusul.
Baca juga: