Penyewa PPR culas bayar sewa, MBS tanggal pintu

Oleh: Hanim Nadia

SEREMBAN: Gagal menjelaskan tunggakan sewa melebihi RM15,000, beberapa pintu rumah penyewa di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi (PPR Paroi), Negeri Sembilan ditanggalkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, penyewa gagal menunaikan kewajipan mereka walaupun sudah menandatangani ‘Aku Janji’ bagi melunaskan tunggakan secara ansuran sejak Januari tahun lalu.

Mengulas lanjut, katanya MBS sentiasa memberi peluang dan membantu pelbagai kaedah supaya penyewa yang mempunyai tunggakan dapat menjelaskan bayaran sewa.

“Namun penyewa masih gagal mematuhi perjanjian itu sehingga MBS mengeluarkan Notis Penamatan Perjanjian melalui surat bertarikh 30 November lalu.

“Susulan itu, MBS mengambil tindakan menanggalkan pintu di tiga rumah terbabit supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.

“Bagaimanapun, MBS masih membenarkan penyewa yang mempunyai tunggakan sewa untuk tinggal di rumah berkenaan buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Masri, operasi itu turut dibantu anggota polis daripada Balai Polis Paroi.

Katanya lagi, tindakan membuka semua pintu di rumah terlibat dilakukan supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.

“Daripada penyewa-penyewa terlibat, dua daripadanya telah menjelaskan bayaran tunggakan berjumlah RM23,560.

“MBS telah mengadakan Operasi Tunggakan Sewa di PPR Paroi pada 12 Disember dan ia dilakukan secara berhemah tanpa melibatkan sebarang insiden dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Tambahnya, MBS akan meneruskan operasi ini secara berkala dari semasa ke semasa dan penyewa di rumah PPR Paroi dan PPRT Lobak diminta menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa ditetapkan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, pertanyaan atau cadangan boleh mengemukakan melalui SISPAA MBS mbseremban.spab.gov.my atau muat turun secara percuma aplikasi Respon Rakyat atau boleh juga hubungi terus talian 06-7654444.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat