MENGERIKAN! Itu keadaan yang dikongsikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
ketika menghantar bantuan bahan api, makanan dan ubat-ubatan di sebuah hospital terletak di utara Gaza.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsinya itu berjaya tiba ke hospital berkenaan dua hari lalu, di tengah-tengah permusuhan dan letupan di sekitar hospital selepas beberapa percubaan.

“Kamal Adwan adalah antara satu kemudahan perubatan terakhir yang beroperasi di utara wilayah yang dilanda perang dan WHO sudah memberi amaran awal bulan ini bahawa ia beroperasi pada tahap minimum.
“Usaha untuk menghantar bekalan yang sangat diperlukan berulang-kali terhalang. Awal bulan ini, satu misi tiba di hospital pada 30 November selepas beberapa minggu percubaan gagal, membawa bantuan dan pasukan kecemasan antarabangsa, termasuk pakar bedah dan pakar lain.
“Tetapi, beberapa hari kemudian pasukan itu antara sebilangan besar yang melarikan diri dari hospital di tengah-tengah pertempuran hebat di sekitar kemudahan itu.
“Ini menyebabkan hospital tiada kakitangan khusus untuk pembedahan dan penjagaan ibu.

“Keadaan di hospital itu juga sungguh mengerikan dan kami menggesa perlindungan penjagaan kesihatan serta gencatan senjata segera,” katanya memberi amaran sambil menambah serangan Israel mengakibatkan kerosakan selanjutnya kepada kemudahan dan bekalan oksigen dan elektriknya.
Sementara itu, pasukan kemanusiaan yang tiba menghantar 5,000 liter bahan api, makanan dan ubat-ubatan serta memindahkan tiga pesakit ke Al-Shifa, hospital utama wilayah Palestin.
Sejak 7 Oktober 2023, serangan balas Israel sudah membunuh lebih 45,000 orang di Gaza, majoriti daripada mereka terdiri orang awam.
Baca juga: