Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menegaskan bahawa keputusan mahkamah yang mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah harus dihormati dan tidak dipersoalkan.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada pandangan Senator PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang berpendapat bekas Perdana Menteri itu sepatutnya bebas sepenuhnya dan bukan hanya dikenakan tahanan rumah.
“Isu tahanan rumah bukan bermakna Datuk Seri Najib Razak tidak bersalah, cuma kaedah penahanan sahaja.
“Apapun, memberi penahanan rumah atau tidak, perlu melihat kadar kesalahan dan bentuk kesalahan serta sentimen rakyat jelata,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid turut menyokong pandangan itu dan menegaskan bahawa keputusan mahkamah harus dihormati sebagai sebahagian daripada prinsip kedaulatan undang-undang.
“Sistem kehakiman kita mempunyai mekanisme yang telus dan berintegriti dan saya yakin keputusan yang diambil adalah demi keadilan,” katanya.
Danial juga menekankan bahawa sebarang pindaan atau pengecualian dalam keputusan mahkamah perlu dipertimbangkan dengan teliti agar tidak menjejaskan integriti sistem kehakiman dan prinsip keadilan yang dipegang selama ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
Anwar menyatakan bahawa Lembaga Pengampunan akan mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan boleh menyempurnakan tanggungjawab dengan baik sebelum membuat keputusan.
Baca juga: