Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Laporan terbaru mengesahkan bahawa punca kematian dua ekor kucing yang ditemui dalam keadaan ngeri di kawasan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM) semalam adalah akibat serangan anjing liar, bukan didera.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, laporan mengenai kejadian itu telah dibuat di Balai Polis Pantai sekitar pukul 6.20 petang.
“Saya mengesahkan polis menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut telah dijalankan.
“Kita mendapati kematian haiwan itu akibat diserang anjing liar.
“Laporan polis telah dirujuk kepada Jabatan Veterinar dan pengurusan Universiti Malaya untuk tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seekor kucing yang didakwa diperlakukan dengan kejam apabila perutnya terbelah selain kaki yang seakan-akan dipotong di Universiti Malaya.
Kesatuan Pelajar Universiti Malaya Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (KMUM FPE) melalui wakilnya, Vincent Ng dan Kaven Khoo telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Pihak polis juga sudah berhubung dengan pasukan veterinar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dihantar ke fakulti berkenaan pada jam 4 petang semalam untuk pemeriksaan,” katanya.
KMUM FPE dalam kenyataan di Facebook menyatakan bahawa laporan itu adalah langkah ke arah memastikan kebajikan semua pelajar dan menggesa pihak pengurusan kampus untuk mengambil serius perkara ini.
Kesatuan pelajar itu turut menyuarakan rasa terkejut dan sedih dengan kes penderaan kucing yang dilaporkan berlaku pada 12 dan 16 Disember lalu.
Baca juga: