Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban akan menyerahkan notis kesalahan dan kompaun kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ia susulan gambar tular di platform X yang mendakwa beliau sedang merokok di sebuah restoran.
Dr Dzulkefly berkata, pejabat Menteri Luar telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Jujurnya, YBM DS Mohamad Hassan (Tok Mat) sendiri meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun atas kesalahan tersebut dan berjanji akan membayar kompaun itu.
“Saya berpegang kepada prinsip bahawa ‘tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang’,” tegas Dr Dzulkefly, merujuk kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
Tindakan ini susulan gambar yang dimuat naik oleh akaun @MsianInciter di platform X yang memaparkan individu dipercayai Mohamad sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki.
Pemilik akaun itu juga memaparkan poster mengenai 28 tempat larangan merokok oleh KKM.
Dr Dzulkefly menegaskan bahawa Akta 852 yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu akan dilaksanakan tanpa dwi-standard, menunjukkan komitmen KKM dalam menguatkuasakan undang-undang demi kesihatan awam.
Baca juga: