Rosmah Bebas 17 Pertuduhan Kes Ubah Wang Haram, Elak Cukai

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri agar kesemua 17 pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Beliau berpendapat, permohonan itu mempunyai merit kerana pertuduhan tidak menyatakan elemen penting kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Rosmah.

“Tanpa menyatakan secara spesifik transaksi yang dilakukan, bagaimana untuk mengaitkan tertuduh dengan kesalahan yang dilakukannya? Selain itu wujud pertindihan pada pertuduhan,” kata hakim lapor media tempatan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Wanita ini didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat