PARLIMEN: Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 melabuhkan tirainya semalam setelah bersidang selama 12 hari bermula 2 Disember yang menyaksikan kelulusan 26 rang undang-undang (RUU).
Parlimen Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook berkata, antara RUU yang diluluskan ialah RUU Keselamatan Dalam Talian 2024, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024 dan RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Turut diluluskan ialah RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024, RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 dan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
“RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan RUU Perkongsian Data 2024 juga diluluskan di bawah Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital masing-masing,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan turut hadir bagi bacaan kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) yang diluluskan selepas perbahasan selama enam hari.
Beliau mengumumkan beberapa inisiatif tambahan termasuk kenaikan gaji minimum dan bantuan kepada golongan B40.
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Dewan Negara dan menekankan pentingnya meneliti input daripada laporan penyata untuk perbahasan masa depan.
“Saya mengesyorkan agar semua Ahli Dewan dapat meneliti dan menggunakan input daripada laporan penyata yang telah dibentangkan sama ada sebagai bahan bahas atau dalam menimbang satu RUU pada masa akan datang.
“Saya harapkan kerajaan dapat memberikan respons ke atas syor-syor yang telah diusulkan jawatankuasa pilihan khas. Saya juga ingin menyarankan agar momentum ini dapat diteruskan dan syorkan kefungsian dewan ini sebagai ‘Upper House’,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Senator yang menamatkan perkhidmatan dan warga kerja Dewan Negara.